Wednesday 29 January 2014

OPERATION THREATRE (PART 7) - TEBUK TELINGA

Tahun 2014 menjelma...Tahun ini umur abang masuk 8 tahun. Diam tak diam sudah hampir 8 tahun mama melahirkan abang dan menjaga abang. Sudah bermacam-macam rawatan dan pembedahan yang abang jalani. Dari tebuk dubur, tebuk leherkemudian tebuk perut. Kali ini doktor menasihati mama untuk menjalani 1 lagi pembedahan menebuk telinga...Mama rasa tebuk-menebuk ni memang sangat sinonim dengan abang...hihi

Seperti yang telah mama tuliskan dalam post yang lepas, abang ada masalah pendengaran. Jadi untuk mengatasi masalah abang ini, doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan kecil ke atas abang yang disebut "MYRINGOTOMY & GROMMET". Minor operation sahaja kali ini. Doktor akan menebuk lubang kecil pada gegendang dan menyedut cecair yang bertakung di antara gegendang dan koklear. Selepas itu doktor akan letak satu tiub kecil pada gegendang untuk mengalirkan cecair untuk sementara.

Untuk memuaskan hati yang hendak tahu lebih lanjut apa itu myringotomy & grommet ni, meh la kita tanya pada Mr. Google...


APA ITU MYRINGOTOMY?

Myringotomy adalah sayatan kecil atau tebukan kecil di gegendang telinga untuk mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh pengumpulan cecair dalam rongga internal yang berisi udara (telinga tengah) di luar gegendang. Myringotomy adalah prosedur bedah yang paling umum dilakukan di telinga. Prosedur ini umum dilakukan untuk membantu memulihkan pendengaran dan menghilangkan rasa sakit di telinga akibat pengumpulan cecair tersebut.

MENGAPA TERJADINYA PENGUMPULAN CECAIR DI TELINGA TENGAH?

Pengumpulan cecair ini terjadi disebabkan oleh beberapa situasi:

(1)     Gangguan pada fungsi tiub eusthacius
          Tiub eusthacius adalah saluran yang terdapat pada telinga tengah yang berfungsi untuk menghubungkan Cavum Tympani dengan Nasofaring. Fungsi tiub ini adalah untuk menjaga tekanan udara telinga tengah sama dengan tekanan udara luar, drainase sekret dan menghalang sekret yang masuk ke telinga tengah dari nasofaring. Dalam keadaan normal, biasanya tiub selalu tertutup dan akan terbuka jika oksigen diperlukan masuk ke telinga tengah atau pada saat mengunyah, menelan atau menguap. Oleh sebab itu, jika ada gangguan pembukaan pada tiub eusthacius, maka akan terjadi tekanan yang akan menyebabkan cairan keluar dari pembuluh darah mukosa telinga tengah dan berkumpul di telinga tengah...

(2)     Otitis Media
          Otitis media adalah radang pada sebahagian atau seluruh mukosa telinga tengah. Radang ini biasanya menyebabkan tiub eusthacius tidak dapat membuka sehingga terjadi ruptur pada pembuluh darah dan limfe yang mengakibatkan keluarnya cecair dan berkumpul di telinga tengah.

(3)     Penyakit GERD
         Penyakit ini merupakan penyakit reluks/isi lambung masuk ke esofagus. Pengumpulan cecair pada telinga tengah akibat daripda penyakit ini biasanya terjadi apabila cecair di lambung sampai ke nasofaring dan masuk ke telinga tengah melalui tiub eusthacius.

(4)     Penyakit ISPA
         Infleksi pada saluran nafas atas.

SIAPA YANG BERISIKO?

1.   Anak-anak autisme yang kebiasaanya mengalami gangguan spektrum
2.   Anak-anak sindrom (contoh: Sindrom Down) atau kelainan pada kraniofacial (yang ini macam kes abang la) yang menganggu fungsi tiub eusthacius.
3.   Anak-anak yang buta atau masalah penglihatan
4.   Anak-anak yang menderita sumbing bibir atau lelangit (ha...yang ni pun macam kes abang juga)


Ok...dengan info dan video yang mama dapat dari google, mama rasa lebih faham dan clear berkenaan dengan masalah pendengaran abang dan prosedur pembedahan yang abang jalani..

Operation berjalan selama 1 jam setengah..Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar. Mengikut kata doktor, cecair yang berkumpul di telinga abang sangat banyak. Tetapi cecair di telinga sebelah kiri lebih pekat. Oleh sebab itu doktor tidak letak tiub kecil yang berfungsi untuk mengalirkan cecair pada telinga kiri kerana dikhuatiri tiub itu akan tersumbat dek cecair yang sangat pekat itu...

Beberapa jam selepas menjalani operation abang dibenarkan discaj, dengan syarat berehat secukupnya di rumah. Abang dilarang sama sekali mandi kolam atau main hujan. Sekiranya boleh elakkan diri dari selsema...Dan yang paling syoknya, abang mama tengok lebih ceria mungkin sebab pendengaran abang lebih jelas dari dulu...HOYYYYEEEHHHHHH....
        

Thursday 2 January 2014

MASALAH PENDENGARAN...UJIAN UNTUK PENUTUP TAHUN 2013

Dear Mr. Time...kenapalah pantas sangat kau berlalu???Belum puas lagi rasanya hidup dalam tahun 2013...
Pejam..Celik..Pejam..Celik..dah masuk tahun 2014..

Cerita penghujung 2013.....2 hari sebelum pendaftaran darjah 2 untuk persekolahan abang, mama pergi ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu (PPD). Niat hati untuk mengambil borang OKU seterusnya menukar abang dari sekolah biasa ke sekolah pendidikan khas..Seterusnya mama berjumpa dengan Encik Shukri, Penolong Pengarah bahagian pendidikan khas. Mama bercerita tentang abang dari A-Z, cerita tentang sekolah abang,cerita tentang abang duduk pra sekolah pendidikan khas, cerita tentang PK yang kurang bijak, cerita tentang mama dapatkan pengesahan doktor untuk abang masuk sekolah biasa, cerita tentang cikgu yang mengatakan abang 'slow learner' dalam masa 5 minit ujian bertulis, cerita tentang rungutan cikgu hendak isi markah untuk bacaan dalam PBS dan macam-macam lagi yang mama cerita..Puas hati mama dapat luahkan pada pihak yang berkaitan...

Setelah mendengar cerita mama Encik Shukri menyarankan mama supaya hold dulu niat mama untuk tukar sekolah abang. Beliau menasihati mama supaya bawa abang berjumpa dengan Doktor Nizam, Pakar Psiktrik Kanak-kanak untuk memastikan mental dan IQ abang di tahap mana. Sekiranya mental dan IQ abang normal seperti kanak-kanak yang seusia dengan abang maka abang sememangnya layak untuk bersekolah di sekolah normal...Sebegitu sekali tapisan yang abang lalui untuk mendapatkan pendidikan.. 

Tidak mengapalah sayang, mana yang mama boleh usahakan, mama akan usahakan demi untuk pendidikan anak mama...Jujur, mama tidak rasa kecewa pun sekiranya telah tertulis di Luh Mahfuz yang abang ini 'slow learner'. Sekiranya ditakdirkan begitu, mama akan usahakan pula untuk pendidikan yang khas untuk abang...Tapi mama tidak akan maafkan diri mama sekiranya mama telah tempatkan abang di sekolah pendidikan khas, then hendak buat ujian mental. Dapat pula keputusan ujian mental mengesahkan abang normal..

Sebelum berjumpa dengan Pakar Psiktrik Kanak-kanak, pihak hospital mengarahkan mama mendapatkan surat rujukan Pakar ENT berhubung kes abang. Bila berjumpa dengan doktor bahagian ENT mama menerima kata-kata yang sinis dari Doktor F. Dia kata pada mama: "Kalau Akhil dah tak boleh nak cakap, nak baca, macam mana cikgu nak menilai dia. Lebih baik hantar dia kat sekolah pendidikan khas saje"...Kali ini tiada lagi airmata bertakung di mata mama, tiada lagi kesedihan di hati mama. Yang nyata kata hati mama berbisik: FIGHT! FIGHT! FIGHT!..

Mama cuba menuturkan kata-kata yang paling manis buat doktor perempuan muda yang masih tiada anak itu: "Doktor, saya pegang pada cadangan PPD supaya membuat mental assessment pada Akhil. Soal macamana cikgu nak menilai bacaan dan pemahaman dia biar sekolah dan PPD yang uruskan. Sekiranya ujian mental mengesahkan Akhil memang ada masalah pembelajaran, saya dengan berbesar hati akan mencari sekolah pendidikan khas untuk dia"...Alhamdulillah doktor menerima kata-kata dan menyatakan sebelum membuat mental assessment abang perlu menjalani ujian pendengaran bagi memastikan pendengaran abang berkeadaan baik...

Sekali lagi ujian dari Allah datang untuk mama...Setelah melakukan ujian pendengaran doktor mengesahkan bahawa abang ada masalah pendengaran. Menurut doktor masalah ini berpunca dari cleft palate/sumbing lelangit. Ada air bertakung di kawasan gegendang telinga abang disebabkan struktur lelangit yang tidak normal itu. Tidak terlalu serious kerana abang masih mampu mendengar tetapi abang perlu dibedah untuk memasang tiub dan mengeluarkan air yang bertakung itu...

Gambar: Abang sedang menjalani ujian pendengaran

Ya Allah, anakku akan dibedah lagi...Luluh hati mama mendengarnya. Hilang rasa semangat mama yang berkobar-kobar sebelum ini..Sebenarnya mama sudah perasan masalah pendengaran abang kerana abang selalu minta mama ulang apa yang mama cakap..Tapi mama cuba menafikannya hakikat semua itu bila melihat abang masih memberi respon setiap kali bercakap dengannya...Mama selalu marah abang kalau abang buat tidak dengar cakap mama. Abang, maafkan mama sayang...

Tarikh untuk operation telinga abang sudah ditetapkan pada 19.1.2014...Tetapi doktor mengesyorkan supaya dibuat ujian pendengaran kali ke-2 untuk kesahihan. Ujian kali ke-2 ditetapkan pada 13.1.2014...Mama berdoa dan berharap pada Allah semoga ada khabar gembira dari ujian kali ke-2 itu walaupun mama tahu harapan mama itu tipis. Tapi untuk berharap kepada Allah adalah sangat digalakkan bukan????