Sunday 22 December 2013

OPERATION THEATRE (PART 6) LEHER ABANG DITEBUK LAGI

Pada hari Selasa minggu lepas mama dengan ayah bawa abang ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk temujanji dengan doktor pakar respiratori kanak-kanak..Malam sebelum temujanji itu mama sempat merakam video abang tidur yang pada pandangan mama memang sangat-sangat azab abang untuk tidur..Biar nanti doktor boleh tengok sendiri bagaimana keadaan abang semasa tidur...

Bila dapat jumpa doktor dan tunjukkan video abang tidur, doktor terus menyarankan supaya abang dimasukkan ke dalam wad dan menjalani pembedahan tracheostomy dengan segera...Semoga dengan pembedahan ini berakhirlah satu derita tidur abang..Tapi mama tidak menyangka secepat ini dapat tarikh untuk abang dibedah. Lagipun mama tidak ready baju dan barang-barang untuk "bercuti di hospital"...Jadi terpaksalah mama minta tangguh sehari untuk mengambil barang-barang keperluan sepanjang berada di dalam wad nanti...
Gambar: Sungguh, mama sudah tidak sanggup lagi melihat abang tidur

Sepanjang pulang dari hospital hujan lebat membasahi bumi Kelantan dan Terengganu...Ya Allah, Kau permudahkanlah perjalanan kami hari ini dan besok untuk pembedahan abang. Teringat kembali pada peristiwa tahun lepas di mana perjalanan kami untuk pembedahan abang tersekat di daerah Besut kerana banjir. Pada masa itu kecewanya mama hanya tuhan sahaja yang tahu. Terpaksalah mama menelefon doktor untuk menangguhkan pembedahan abang...

Pada keesokkannya kami sampai ke hospital agak lewat, lebih kurang pukul 3 petang. Oleh kerana pakar bius telah berjumpa abang semasa temujanji semalam, maka kelewatan itu tidak menjadi masalah besar..Ayah tidak dapat menemani abang kerana ayah kena bekerja esok. Lagipun mama rasa lebih baik lah ayah balik bersama-sama dengan adik, baru rasa aman dan damai..Adik memang tidak boleh duduk lama-lama di hospital. Kenakalan dia akan mengganggu ketenteraman orang lain...

Segala perancangan berjalan dengan lancar. Perasaan mama macam biasa. Walaupun ini pembedahan kali ke-6 mama tetap rasa risau dengan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Namun mama tetap positif dan menetapkan dalam hati bahawa tracheostomy ini sangat penting untuk hidup abang...NO CHOICE!!!

Tepat pukul 11 pagi abang disorong masuk ke dalam bilik bedah. Mama turut sama mengiringi abang. Abang merengek-rengek tanda takut. Mama cium dan bisikkan zikrullah di telinga abang. Mama ajar abang berdoa kepada Allah memohon yang baik-baik sahaja untuk abang. Namun abang tetap merengek..
Gambar: Mama sentiasa ada bersama abang. Abang jangan takut ye...

Gambar: Sebelum masuk ke bilik bedah

Alhamdulillah...Pembedahan kali ini hanya mengambil masa 1 jam sahaja. Keadaan abang juga stabil dan tidak perlu dimasukkan ke dalam ICU walaupun pihak hospital telah reserve katil untuk abang di wad ICU. SYUKUR...Sebaik sahaja abang sedar selepas pembedahan, abang menangis tanda sakit dan tidak selesa. Abang menunjuk-nunjuk ke arah leher. Sebak rasa hati mama... Sabarlah sayang..Hanya itu yang dapat mama ungkapkan walaupun mama tahu ungkapan itu tidak mengurangkan sedikit pun rasa sakit abang itu..
Gambar: Leher abang ditebuk semula

Sudah lama mama tidak buat suction/seduk kahak abang. Walau bagaimanapun mama tidak rasa kekok sedikit pun untuk mempraktikkan semula amalan rutin mama itu. Apa yang lebih memudahkan urusan mama adalah doktor dan nurse di hospital memberi sepenuh kepercayaan kepada mama untuk menguruskan abang. Daripada dressing luka sehingga ke suction semua mama yang buat. Abang pun lebih selesa mama yang buat kan...

Oleh kerana mama tidak ada masalah untuk mengurus, merawat dan menjaga abang, doktor membenarkan abang pulang pada hari ke-4 selepas operation walaupun jahitan luka belum dibuka. Biarlah, malaslah hendak jadi penghuni wad lama-lama. Selama 4 hari duduk ke wad ni pun sudah macam-macam buku dan alat tulis yang doktor bagi abang. Terima kasih doktor, abang suka sangat! Satu lagi rezeki yang tidak disangka-sangka abang mendapat tiub feeding baru. Pihak hospital kata ada parents pesakit dermakan set tiub kerana pesakit sudah meninggal dunia. Innalillahi wainnailaihirojiun. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga keluarga arwah tabah menghadapi pemergian arwah..Amin

Gambar: Bard tube
Urusan pembedahan abang kali ini memang sangat lancar...Dapat tarikh pembedahan awal, pembedahan pun  berjalan dengan tenang dan selamat, dapat feeding tiub baru...dan satu lagi urusan Jabatan Kebajikan untuk mesin suction pun mudah sahaja. Pihak hospital membenarkan kami menggunakan mesin suction selama mana pun hendak guna...Alhamdulillah, sungguh besar rahmatMu ke atas anak istimewaku ini...
Gambar: Suction machine

Sesungguhnya janji Allah itu benar....Setiap anak itu memang sudah membawa rezeki mereka masing-masing, apatah lagi anak istimewa. Rezeki anak istimewa mama ini memang sangat murah..Kadang-kadang terfikir juga hendak beli alat ini, ubat itu, hendak pergi rawat di hospital sini, kena pergi hospital situ. Semua itu memerlukan kos. Tapi rahmat Allah itu besar, Allah amat suka sekiranya kita mengeluh, merayu dan memohon kepadaNya..Jadi memohon, merayu dan berdoalah kepada Allah walau dalam keadaan macam mana pun....